Wednesday, June 22, 2011

DENDAM SI GAJAH ( SG.KERAWAI, TELUK INTAN)

Sejarah system rel di Tanah Melayu telah membuka lembarannya pada 1 Jun 1885 apabila jalan kereta api  yang pertama, menhubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang), telah dibuka dengan rasminya oleh Sir Hugh Low – Residen Perak ketika itu. Tujuan utama ianya dibina adalah untuk mengubungkan kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat iaitu Port Weld. Pembinaan tersebut diteruskan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Sehingga tahun 1905, landasan kereta api dari utara ke selatan siap dibina sepenuhnya yang menghubunkan stesen Butterworth ke Melaka.
                                                   PORT WELD (KUALA SEPETANG)

                Pada peringkat awal sistem pengangkutan ini beroperasi, iaitu ketika zaman sebelum merdeka, ia sering menerima ancaman dan serangan luar jangkaan. Bukan sekadar serbuan daripada komunis, tetapi juga ancaman daripada haiwan liar. Paling tragis, seranan sekumpulan gajah yang naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kereta api yang sedang meluncur laju dia atas landasan.

                Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, kejadian tersebut berlaku pada tahun 1894, membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur. Kereta api wap itu membawa 3 gerabak penumpang yang kebanyakkannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang dari meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.

                Sebaik tiba di Teluk Anson ( Teluk Intan ), kereta api tersebut diserang oleh seekor gajah jantan bersama sekawan gajah lain yang menunggu di laluan kereta api. Gajah jantan tersebut telah merempuh kereta api yang sedang bergerak itu secara berhadapan – dengan cara menyondol.

                Rempuhan tersebut telah menghasilkan momentum yang amat kuat sehingga kereta api berkenaan tergelincir dan  gerabaknya terkeluar dari landasan. Beberapa batang besi rel juga turut tercabut serta patah. Ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu dipandu antara 40 – 50 batu sejam dan dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap.

Kereta api dengan muatan 3 gerabak penumpang yang mempunyai kelajuan seperti itu, sukar untuk dibayangkan kekuatan seekor gajah yang mampu menumpaskan sebuah kereta api.

                Berdasarkan kepada cerita lisan, gajah jantan berkenaan dikatakan mempunyai susuk yang besar, lebih besar dari gerabak kereta api. Penduduk setempat percaya, gajah jantan tersebut mengamuk untuk menuntut bela di atas kematian anaknya yang dirempuh kereta api di kawasan yang sama, beberapa tahun sebelum itu.

                Kemudian pada tahun 1888, seekor gajah betina pula maut dilanggar kereta api ketika menyelamatkan sekumpulan gajah lain yang sedang melintas laluan rel. Dikatakan, gajah betina itu merupakan anak kepada gajah jantan tersebut.

Gajah sememangnya dikenali antara haiwan yang sangat pantang @ terlalu sensetif melihat cahaya pada waktu malam. Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku antara lewat petang dan senja, iaitu sekitar pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Hutan tebal yang menyelubungi kawasan tersebut menjadikan suasana sekeliling agak gelap.

                Bagaimanapun, akibat rempuhan yang sangat kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Dua orang pekerja kereta api warga India turut terbunuh. Manakala penumpang lain yang menaiki gerabak belakang hanya mengalami cedera ringan.

                Sehingga kini kejadian tersebut masih diingati oleh penduduk di sekitar Teluk Intan, Perak. Bagi memperingati sejarah tersebut, tengkorak gajah terbabit telah diawet dan disimpan di Muzium Perak yang terletak di bandar Taiping untuk tatapan umum. Tulang paha gajah itu ditempatkan di Muzium KTMB, manakala gadingnya difahamkan telah dibawa ke England oleh pihak British ketika itu.

No comments:

Post a Comment