Friday, July 23, 2010

SaKa

Saka adalah ' hantu belaan ' yang diwarisi secara turun temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya. Terdapat saka yang diwarisi secara mendapat persetujuan terahulu daripada individu dalam keluarga itu sendiri dan ada juga saka yang memilih sendiri keturunannya atau ahli keluarga yang disukainya walaupun tanpa persetujuan (tidak diketahui).

Sebagai contoh, seorang datuk ada membela hantu raya, sebelum dia mati, dia harus mewariskan sakanya iaitu ' hantu belaan' kepada anaknya. Jika anaknya enggan menerima saka tersebut, maka pemiliknya harus mencari waris dari generasi ke-3 (cucunya) secara rahsia.

Saka yang dibela haruslah dihidang dengan makanan yang khas pada masa-masa tertentu. Selalunya, makanan seperti telur, ayam panggang dan pulut kuning akan diletakkan di dalam ancak. Saka mempunyai berbagai nama gelaran bergantung kepada pemiliknya. Antara nama-nama yang digunakan ialah pendamping, datuk, sahabat, akuan, dan lain-lain lagi.

Terdapat pelbagai jenis hantu yang boleh dikategorikan sebagai saka. Antaranya adalah bajang, toyol, polong, pelesit, hantu raya, saka haiwan ( harimau jadian), pontianak, penanggal, langsuir, dan lain-lain lagi. Selalunya saka akan mencari anak kepada 'tuannya'.

Saka yang tidak dijaga dengan baik selalunya akan menimbulkan huru-hara kepada tuannya. Ia selalu berlaku kepada seseorang yang tidak mengetahui bahawa dirinya ada 'dibekalkan' dengan pendamping oleh generasi sebelumnya.

Seringkali jika terdapat gangguan di rumah pemilik saka yang baru itu, dia akan menyangkakan bahawa dia dan keluarganya diganggu oleh makhluk halus yang tidak tahu dari mana asal usulnya. Jika waris tersebut merupakan seorang yang kuat semangat dan kurang mempercayai perkara yang tahyul, saka ini akan bertukar tuan kepada ahli keluarga yang termuda dan masih lemah contohnya seperti kanak-kanak (belum baligh) atau yang baru meningkat usia remaja.

Seseorang yang mempunyai saka selalunya mempunyai sifat panas baran dan kadangkala boleh menjadi agresif walaupun ianya berpunca dari satu perkara yang kecil. Ada juga yang bersikap pendiam, namun apabila dia berbicara, kata-katanya pasti menggerunkan orang yang ditegur kesilapannya itu. Agak susah untuk memahami watak sebenar pewaris saka. Jika mereka pandai mengawal saka tersebut, tidak menjadi masalah kepada orang-orang yang berada di sekeliling pewaris, namun jika tidak dapat mengawalnya, saka itu akan mengawal emosi dan tingkah laku tuannya itu.

Lebih lama saka itu berdamping dengan tuannya, maka lebih susahlah seseorang itu membuang saka dari dirinya. Dipercayai, jika saka tersebut sudah sebati dengan pemiliknya, ia tidak dapat lagi dibuang melainkan dengan cara menurunkan saka kepada waris.

Untuk membuang saka, seseorang perlulah memujuk dan berbincang dengan saka itu terlebih dahulu melalui mimpi ataupun melalui perantaraan dukun atau bomoh. Kononnya bomoh yang arif tentang perkara ini akan memandikan individu tersebut dengan air kolah masjid atau sunga. Beberapa biji limau akan dibalut dengan kain kuning yang diikat seperti mayat dan ditempatkan di dalam ancak untuk dihanyutkan ke laut @ sungai yang mengalir.

P/S = Ingatlah....jika ada penyakit, tentu ada ubatnya...percaya kepada Allah, tuhan yang maha
esa...

No comments:

Post a Comment